Kemahiran Mengurus Masa
Sebagai pelajar, kita seharusnya dapat mengurus masa kita sebaiknya agar pengunaan masa kita dapat diseimbangkan di antara aktiviti belajar dengan aktiviti yang lain. Pengurusan masa yang efektif merupakan satu aspek pemangkin kepada kecemerlangan individu atau sesebuah organisasi. Menurut Peter F. Drucker, dalam Ambosworkz, (2005), katanya, "Masa merupakan sumber yang paling sukar didapati dan tiada sesuatu pun yang dapat diurus kecuali masa diurus". Perkara ini menjelaskan kepada kita bahawa pengurusan masa bukanlah perkara yang mudah.
Kebiasaannya tumpuan akan hilang ketika kita mengulangkaji pelajaran. Kita dinasihatkan agar jangan memaksa diri ketika dalam keadaan ini dan sebaiknya kita rehat sebentar, dengan cara menarik nafas atau melakukan senaman ringan atau minum sedikit air mineral untuk mengembalikan kesegaran. Seterusnya, pastikan waktu mengulangkaji pelajaran sekurang-kurangnya 3 jam sehari iaitu 1 jam pada waktu pagi, 1 jam pada waktu petang dan 1 jam pada waktu malam. Untuk mengelakkan kejemuaan ketika belajar, kita perlu bijak mempelbagaikan aktiviti semasa belajar. Antaranya ialah membuat catatan apa yang dibaca, melafazkan apa yang dibaca, dan menukarkan maklumat di dalam bentuk peta minda. Proses secara berselang seli akan mendatangkan impak yang berkesan.
Ketika mengulangkaji adalah lebih sesuai jika kita meletakkan matlamat pada kemampuan jangkuan kita. Tetapkan matlamat berdasarkan peruntukan masa. Contohnya, dalam sejam berdasarkan pengalaman yang lalu kita hanya mampu membaca 10 muka surat dengan tumpuan sepenuhnya. Oleh yang demikian, matlamat kita untuk menghabiskan 20 muka surat dalam masa sejam adalah tidak tepat. Hal ini kerana ia akan mengundang kejemuan dan stress. Walau bagaimanapun, kita juga tidak seharusnya hanya menetapkan 5 muka surat sahaja untuk dihabiskan selama sejam. Keadaan ini akan mengujudkan keselesaan yang tidak sepatutnya. Belajar dengan terlalu santai tidak setimpal dengan nisbah masa yang digunakan dan tidak tepat dengan matlamat yang ingin dicapai.
Sediakan senarai aktiviti belajar seharian (list to do). Pangkahkan kepada kerja-kerja yang telah sempurna dilakukan. Kemudian, semak semula sepintas lalu tahap pencapaian kerja yang telah selesai. Perbaiki kelemahan pada masa yang akan datang jika ia melibatkan teknik. Tetapi jika kelemahan itu adalah kelemahan yang besar, perbaiki kelemahan itu serta merta agar kelemahan itu tidak terbawa-bawa dan menjadikannya suatu kebiasaan di masa depan.
Sistem pengurusan masa yang baik dapat membantu anda membuat kerja dalam tempoh yang singkat. Pengurusan masa yang berkesan boleh membantu anda mencapai objektif anda kerana :
- Membantu anda membuat sesuatu mengikut keutamaan
- Membantu anda menghidar perangkap masa
- Membantu anda untuk menjangka peluang-peluang yang ada
- Memberi anda kebebasan dan kawalan
- Membantu anda menghindar daripada konflik masa
- Membantu anda menghindar rasa bersalah
- Membantu anda menilai kemajuan anda
- Membantu anda belajar bagaimana untuk belajar dengan bijak
Selain daripada membantu mengurus masa anda dengan betul dan mencapai matlamat pembelajaran, pengurusan masa berkesan akan memberi faedah jangka panjang. Pendek kata, kita haruslah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggunakan masa senggang dengan aktiviti yang bermanfaat.
No comments:
Post a Comment